8-7-6-5-4-3-2-1 Indochina

8 hari, 7 malam, 6 passport stamp, 5 penerbangan, 4 penginapan, 3 travellers, 2 negara, 1 pengembaraan. What a number!

Kami baru pulang dari pengembaraan kami ke Indochina. Pada mulanya kami rancang akan melawat 3 negara, tetapi pada saat-saat akhir terpaksa lupakan hasrat untuk ke Myanmar. Jadi untuk kali ini, kami hanya sempat ke Thailand dan Vietnam sahaja.


Plan asal, kami terbang dari KL ke Bangkok, dan keesokkan harinya ke Yangoon. Selepas dua malam di Yangoon kami pulang semula dan menginap lagi dua malam di Bangkok. Selepas itu kami berlepas ke Ho Chi Minh (HCMC) dan kembali semula ke KL dua malam kemudiannya. Itu plan asal. Namun dua hari sebelum ke Bangkok, Air Asia membatalkan penerbangan kami ke Yangoon. Pada masa itu kami belum lagi mendapatkan Visa ke Myanmar. (Kawan akan ceritakan percubaan kawan untuk mendapatkan Visa Myanmar di lain hari, satu lagi pengalaman yang menarik). Tiada tiket dan tiada Visa, jadi kami ambil keputusan untuk ke Krabi. KL-Bangkok-Krabi-Bangkok-HCMC-KL. Ini destinasi perjalanan kami kali ini.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi yang moden
Kami sampai ke Bangkok pada pagi Selasa. Kawan sangat kagum dengan Lapangan Terbang Suvarnabhumi. Senibinanya minimalist dan moden pada masa yang sama masih mengekalkan identiti Thai. Arca dan kesenian Thai boleh dilihat di merata-rata tempat di sekitar lapangan terbang ini. Dan ia sangat bersih. Malam pertama kami tinggal di @Hua Lamphong, Hostel di depan Stesen Keretapi Hua Lamphong. Malam itu kami berayau-rayau di sekitar Silom. Sempat juga membeli-belah di Siam Square.

Chicken Island Krabi. Nampak tak kepala ayam?
Keesokkan harinya kami ke Krabi. Ajan beach junkie, dia sangat-sangat gembira apabila kami sampai di sini. Ketika kami sampai hujan turun sangat lebat. Staff hotel memberitahu yang sekarang musim hujan di Krabi. Hujan + Pantai = Bahaya + Tak Cool. Nasib baik, cuaca menyebelahi kami, keesokkan pagi, suria muncul. Kami mengambil bot dan melompat dari pulau ke pulau. Bermula dengan berenang di Tub kemudian snorkeling di Chicken. Pada tengah hari kami lunch di Poda dan selepas itu kami ke Phra Nang Cave yang penuh dengan monyet-monyet jinak. Dalam perjalanan ke Phra nang Cave ni Kimi dah terlena diulit mimpi... Petang tu kawan dan Ajan bergilir-gilir ke mencuba urutan Thai. Murah, lebih kurang RM20 sejam.

Semua berdiri menyanyikan lagu Phleng Chat Thai
Setelah dua malam di Krabi, kami kembali semula ke Bangkok. Kami tiba di Bangkok agak lewat, terima kasih kepada kesesakan lalulintas di Bangkok. Setibanya di bilik hostel kami di Hua Lampong, Ajan dan Kimi terus terlena. Senja melabuh lebih awal di Bangkok, kira-kira pukul 6 petang, hari sudah gelap. Kami ke stesyen keretapi di Hua Lamphong untuk mencari makan malam. Alhamdulillah terdapat satu gerai makan Halal di situ. Sedang kami menikmati makan malam, tiba-tiba terdengar bunyi wisel di seluruh stesyen keretapi tersebut dan tidak semena-mena semua orang berdiri tegak dan mula menyanyikan lagi kebangsaan Thailand. Rupa-rupanya setiap hari pada pukul 6 petang dan 8 pagi, mereka akan menunjukkan tanda hormat dan menyanyikan lagu kebangsaaan di situ. Sangat menarik, terfikir juga alangkah bagusnya jika di Malaysia juga berlaku perkara yang sama.

Selepas kenyang mengisi perut, kami menaiki MRT ke Chatuchak Weekend Market. Nama pun weekend market, kami pergi pada malam Jumaat dengan harapan Jumaat malam juga dikira hujung minggu, tetapi kami hampa, hanya satu-dua kedai sahaja yang dibuka. Nasib baik terdapat pasar malam yang lebih kurang sama di Suan Lum Night Bazaar. Di sini pun kami dah tak larat nak melawat semua kedai. Kalau kami tiada limit masa dan budget, satu hari pun tak cukup untuk berbelanja di sini. Bagi kami yang kesuntukan masa dan budget ni, 2 jam sudah mencukupi.

Dari satu temple ke satu temple dalam renyai-renyai hujan
Antara puluhan perahu-perahu menjual cenderahati di floating market
Hari terakhir kami di Thailand dihabiskan di sekitar Damnoen Saduak, kira-kira 40km dari Bangkok. Kami bermula dengan jalan-jalan melawat dari satu temple ke satu temple sebelum ke Floating Market yang popular. Kawan percaya yang ramai orang akan mengaitkan Bangkok dengan pasar atas air ini. Selalunya floating market ni digambarkan penuh warna-warni seperti dalam poskad ini. Kalau dilihat dari poskad tersebut, semua perahu-perahu itu menjual sayur-sayuran dan buah-buahan. Tapi apa yang kami lihat di sana jauh dari yang kami sangkakan. Kebanyakan perahu menjual cenderahati yang harga jauh lagi mahal dari yang boleh didapati di pasar-pasar malam. Malahan tambang untuk menaiki bot tersebut juga sangatlah mahal. Lebih kurang 1500THB (RM 150) untuk seorang. Nak masuk Disneyland pun tak semahal itu. Tempat ni kawan boleh panggil sebagai perangkap pelancong. Semuanya mahal-mahal belaka. Kalau nak juga ke sini, kawan cadangkan skip perahu tour, pergi terus ke pasar tersebut dengan teksi. Di pasar tersebut sekiranya ingin merasa untuk menaiki perahu, boleh lah cuba cari perahu untuk rakyat tempatan (tidak berbumbung dan menggunakan pendayung). Jauh lagi murah dan lebih asli.

Tinggalan kereta kebal Amerika di tengah-tengah hutan di Chu Chi
Destinasi terakir kami kali ini ialah di Ho Chi Minh City, Vietnam. Dahulunya pada zaman penjajahan Perancis dipanggil Saigon. Namun apabila merdeka, bandar ini diubah nama semperna nama Presiden pertama mereka. Bagi rakyat tempatan, mereka masih memanggilnya Saigon. HCMC merupakan syurga beli-belah wanita, termasuklah Ajan. Bag, aksesori, kain baju boleh didapati dengan harga yang jauh lagi murah dari di KL. Malah sepanjang 3 hari kami di sana, kami bertemu dengan ramai makcik-makcik yang datang ke HCMC untuk mendapatkan stok perniagaan kecil-kecilan mereka di Malaysia.

Selain untuk tujuan membeli-belah, bandar ini penuh dengan nilai sejarah. Di ceruk mana kami berada di bandar ini, pasti kami nampak nilai sejarahnya, samada dari senibina, arca-arca, mahupun kesan peninggalan perang dengan Amerika. Kami berpeluang melawat muzium kesan perang Amerika yang memaparkan  kekejaman perang yang masih dirasai hingga kehari ini.Kami juga berkesempatan menuju ke daerah Chu Chi, kira-kira dua jam dari HCMC untuk melihat sendiri perkampungan bawah tanah yang dibina Viet Cong untuk berlindung semasa perang. Yang ini sangat kawan kagumi. Bayangkan mereka membina rangakain terowong bawah tanah sepanjang 200km (lebih kurang dari KL ke Batu Pahat) menggunakan tangan tanpa bantuan jentera. Kawan cuba masuk dalam jalinan terowong yang berselirat itu, 5 minit sudah cukup bagi kawan. Sempit, panas, gelap, busuk. Tak dapat bayangkan bagaimana mereka hidup di situ selama 35 tahun!

Kepenatan menunggu kapal terbang pulang ke KL
Setelah 8 hari berjalan, kami pulang kembali ke Malaysia (menaiki Lotus!) pada hari Selasa. Ini trip paling panjang kami setakat ini. Kawan nampak yang banyak perkara baru yang Kimi belajar sepanjang trip kali ini. Harap-harap perkara yang baik tu dia boleh kekalkan. Okaylah, sepatutnya entry ni ringkas, tapi dah panjang meleret pulak. Nanti kawan dan Ajan akan tulis lagi terperinci tentang perkara-perkara menarik sepanjang trip kali ni.

Comments

masa kat krabi ada try pancake tak??kami gi ritu, hari2 mau makan pancake...thai curry & tomyam dorang pun sedap..mmg lain la dgn kat mesia..we love their food & thai massage ,but not for their island- coz rasanya pegi krabi ni mcm gi pulau pangkor jer..tak happening.coral lawa2 pun tak nampak

Popular Posts